CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Sunday, April 26, 2009

Kuliah 1: 20 April 2009 (Dr Hjh Siti Fatimah Mohd Yassin)

Pengenalan Kursus

Secara ringkasnya kursus ini memberi pendedahan tentang elemen-elemen yang penting dan harus dititikberatkan dalam pelaksanaan kajian tindakan oleh seseorang penyelidik atau guru terhadap permasalahan yang dikenalpasti hasil dari refleksi kendiri dan berusaha untuk merungkai penyelesaian terhadap permasalahan tersebut.

Pengenalan Kajian Tindakan


* Definisi Kajian dan Tindakan

- Kajian boleh ditakrifkan sebagai langkah-langkah yang digunakan untuk mengumpul dan menganalisa data untuk mendapatkan dan meningkatkan kefahaman dalam sesuatu topik.

- Tindakan adalah langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengumpul data, memantau apa yang dirancang terlaksana dan menilai sama ada apa yang dirancang dan dilaksanakan tercapai.


* Prinsip Asas Dalam Kajian

1. Mengemukakan soalan/masalah
2. Mengumpulkan data untuk menjawab soalan/masalah
3. Mengemukakan jawapan kepada soalan/masalah

* Proses Kajian

- Secara umumnya proses kajian melibatkan:
1. Mengenalpasti masalah
- mengenalpasti masalah yang ingin dikaji.
2. Melakukan kajian kepustakaan
- memastikan adakah kajian telah dilakukan berkenaan dengan masalah
tersebut.
3. Menentukan pendekatan kajian
- menentukan apakah jenis pendekatan yang ingin digunapakai untuk mengkaji
masalah tersebut.
4. Mengumpul dan menganalisis data
- mengumpul data-data berkaitan dan menganalisis semua data tersebut supaya
menjadi maklumat yang membawa kepada penyelesaian masalah.
5. Membincangkan dapatan dan implikasi kajian
- segala hasil/dapatan daripada kajian dibincangkan bagi mengenalpasti
kelebihan dan keburukannya untuk diaplikasikan dalam situasi atau kehidupan
sebenar.
6. Melaporkan hasil kajian
- setelah perbincangan dilakukan, laporan atau pembentangan hasil kajian
dilakukan sebelum diaplikasikan.

* Kepentingan Kajian Kepada Pendidik

- Antara kepentingan kajian adalah:
1. Bagi mendapatkan sumber maklumat penting dan menambahkan pengetahuan
dalam memahami amalan dan suasana pengajaran dan pembelajaran oleh guru
dan juga pelajar.
2. Sebagai langkah penambahbaikan amalan pengajaran dan pembelajaran untuk
dipraktikkan secara kreatif dan innovatif pada masa-masa akan datang.
3. Membentuk budaya dan membina kemahiran melakukan penyelidikan sebagai
asas dalam membuat perancangan untuk tindakan.
4. Melahirkan guru yang versatile dan holistik sebagai penyelidik yang kritikal,
kaya dengan idea baru dan berupaya membuat penilaian terhadap aktiviti
kurikulum dan kokurikulum.
5. Persediaan dari aspek pengetahuan dan hasil kajian dalam menghadapi konflik
atau perdebatan berkenaan sesuatu polisi yang mungkin timbul dalam bidang
pendidikan.

* Konsep Kajian Tindakan

- Kajian tindakan merupakan suatu kajian yang dilakukan oleh seseorang
penyelidik atau guru terhadap tingkah laku diri sendiri setelah melalui proses
pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas bertujuan untuk membaiki dan
meningkatkan kualiti amalan masing-masing,
atau
- kajian berdasarkan refleksi kendiri terhadap amalan dalam proses pengajaran dan
pembelajaran untuk penambahbaikan pada masa-masa akan datang.

* Jenis-jenis Kajian Tindakan

1. Secara Individu
- kajian yang berfokus kepada satu isu dalam sesebuah bilik darjah.
2. Secara Kolaboratif
~ melibatkan lebih daripada 2 orang penyelidik sama ada;
a) sama bidang,
b) berlainan subjek, atau
c) antara guru dengan pihak luar seperti pensyarah universiti
- kajian berfokus kepada satu isu dalam sesebuah bilik darjah atau satu isu yang
sama dalam bilik darjah yang berlainan.
3. Peringkat Sekolah (Organisasi)
- kajian berfokus kepada satu isu yang sama di peringkat sekolah.
4. Peringkat Daerah
- kajian berfokus kepada satu isu yang sama di beberapa buah sekolah di
peringkat daerah.

* Contoh Kajian Tindakan

1) Didapati pelajar tidak memperolehi pencapaian yang baik dalam mata pelajaran
Matematik sekolah rendah (mengenalpasti masalah).
2) Penyelidik seterusnya mencari dan mengumpulkan data berkaitan masalah
pembelajaran yang dihadapi melalui temu bual ringkas, soal selidik, ujian dan
sebagainya terhadap pelajar atau guru-guru yang mengajar mata pelajaran
Matematik (pengumpulan data).
3) Setelah dikenalpasti, masalah tersebut berpunca akibat pelajar lemah dalam
kemahiran sifir. Justeru, penyelidik merancang bentuk tindakan yang akan
diambil dan objektif yang ingin dicapai dalam kajian yang akan dijalankan seperti
melahirkan pelajar yang cerdik sifir dan membentuk budaya sifir di kalangan
pelajar dengan melaksanakan aktiviti membaca sifir pada setiap hari sebelum sesi
pengajaran dan pembelajaran kelas pertama dimulakan (perancangan).
4) Setelah meneliti kewajaran pelaksanaan tindakan tersebut dan memperoleh
persetujuan dari pihak pentadbiran, penyelidik mengambil tindakan seperti yang
telah dirancang iaitu pelaksanaan bacaan sifir yang dikendalikan oleh guru-guru
yang mengajar bagi kelas pertama di awal pagi (tindakan).
5) Dalam pada masa yang sama, penyelidik membuat pemerhatian untuk
memastikan guru-guru yang terlibat bekerjasama sepenuhnya untuk
melaksanakan perancangan tersebut dan objektif tercapai (pemerhatian).
6) Setelah tamat tempoh rancangan tindakan, penyelidik membuat refleksi dan
penilaian kembali terhadap hasil yang diperoleh melalui perancangan tersebut
sama ada objektif awal tindakan tercapai atau tidak (refleksi).
7) Sekiranya berjaya, iaitu terdapat peningkatan terhadap pencapaian pelajar dalam
mata pelajaran Matematik, maka masalah pembelajaran telah berjaya diselesaikan
dan usaha yang sama boleh diteruskan untuk masa-masa yang akan datang. Tetapi
jika sebaliknya, penyelidik akan menilai dan meneliti kembali bentuk tindakan
yang telah dilaksanakan. Aspek kekuatan atau kelemahan tindakan tersebut turut
dikenalpasti agar penambahbaikan dapat dilakukan. Contohnya, kemungkinan
sebahagian pelajar tidak serius dan kurang berminat untuk menghafal sifir. Jadi,
penyelidik boleh menambahbaik bentuk tindakan sedia ada dengan melaksanakan
konsep peneguhan atau hukuman terhadap pelajar.

0 comments: